Tentang Ummu Hukaim
Secara ringkas kisah Ummu Hukaim sebelum keislamannya, beliau sekeluarga tidak pernah ketinggalan dalam perang untuk menentang Nabi s.a.w. Ayahnya bernama Al-Harith, saudara kepada Abu Jahal dan ibunya Fatimah binti Al-Walid, saudara kepada Khalid Al-Walid yang juga belum Islam ketika itu.
Ummu Hukaim sempat bernikah dengan Ikrimah bin Abu Jahal sebelum keislaman mereka sekeluarga.
Takdir Allah, mereka sekeluarga akhirnya kembali kepada Islam selepas Perang Uhud.
Pelajaran kehidupan Ummu Hukaim
1. Ummu Hukaim lahir dari keluarga pejuang. Beliau tidak pernah ketinggalan mengikuti perang menentang Nabi s.a.w ketika belum Islam.
Pelajaran:
Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, maksudnya: Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyah, terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham.
Ummu Hukaim, saya kira termasuk dalam golongan yang disebut dalam hadis ini. Kehidupan keluarga pejuang yang pemberani menjadikan mereka lebih hebat lagi dengan Islam.
2. Ummu Hukaim menolak ajakan suaminya, Ikrimah untuk bersama kerana beliau telah berIslam sedang suaminya masih belum.
Pelajaran:
Berhadapan dengan orang yang dikasihi, boleh-boleh sahaja kita kurang waras dalam membuat keputusan. Ummu Hukaim mempunyai prinsip yang benar dan beliau sedar tentang prinsipnya.
Dalam zaman penuh dengan ujian ini, betapa pentingnya seorang wanita (lebih-lebih lagi) mempunyai prinsip yang benar. Prinsip Ummu Hukaim adalah prinsip akidah, prinsip Islam. Inilah prinsip yang benar dan Ummu Hukaim sedar tentang itu. Bukan hanya ikut-ikutan.
Kisah Ummu Hukaim banyak merefleks diri sebagai wanita. Berani dan berprinsip dengan prinsip yang benar. Tidak takut kerana punya keyakinan yang tinggi terhadap Allah s.w.t. Nak tiru, tirulah seperti Ummu Hukaim!
Rujukan: Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah s.a.w (Ustaz Johari)